Wednesday 30 November 2011

Pagi di masjid

Assalamualaikum.


Suasana di dalam masjid pada pagi itu betul-betul menusuk kalbu. Aku melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan dan doa masuk masjid, " Allahumma ftahli abwaba rahmatik..". Setelah solat sunat tahyatul masjid, aku sambung duha 2 rakaat. Lepas salam, aku duduk bersandar di dinding.

Aku lihat ruang solat memang kosong. Jam baru 10 pagi. Keadaan macam ni memang sesuai nak study. Aku keluarkan nota dari beg. Nota yang dah serupa pembalut nasi lemak layaknya aku susun semula satu persatu.

Dari mula aku salin nota, sampai saat itu, itulah kali pertama aku lihat kembali nota itu. Ciri-ciri pelajar yang cemerlang adalah bersedia paling kurang seminggu sebelum tarikh peperiksaan. Aku hanya melihat nota itu sehari sebelum peperiksaan. Maka, aku bukan pelajar yang cemerlang.

Setelah kerja-kerja penyusunan nota selesai, aku mula membaca nota itu. Tulisan yang pelbagai bentuk itu menggambarkan emosi dan keadaan aku yang tidak stabil ketika di dalam kelas.

Ada tulisan yang sangat pekat dan berbekas tulisannya. Seperti tulisan itu ditekan-tekan. Mungkin aku tengah tertekan kelaparan ketika itu.
Ada tulisan yang condong ke kiri. Mungkin aku sedang meneleng kepala ke kiri sebab sakit tengkuk salah tidur.
Ada tulisan condong ke kanan. Mungkin aku sedang usha ke luar tingkap belah kanan buang tahi mata.
Ada tulisan tegak. Mungkin aku tengah duduk tegak penuh fokus akibat taknak bagi kentut berbunyi.

Sedang aku enak memuji tulisan sendiri yang amatlah buruk rupa parasnya, hinggap seekor lalat ke atas kertas aku itu. Untuk pengetahuan am anda, lalat di sini sangatlah lembapnya.

Jika dibuat perlumbaan 4x400m   terbang berganti-ganti, antara lalat Morocco dengan lalat Malaysia, adalah seperti tatkala lalat Malaysia telah sampai ke garisan penamat, manakala lalat Morocco baru sahaja berganti baton kepada penerbang kedua.

Lalat itu mati serta-merta setelah aku menepuknya sehingga mati terpenyek di atas nota. Jasadnya betul-betul di atas huruf Nun, membuatkan titik huruf Nun itu lebih tebal daripada biasa. Macam bold.

Aku sambung membaca nota. Daripada bersandar, aku melunjur kaki. Kemudian mengiring. Kemudian baring. Kemudian meniarap. Kemudian berjalan-jalan.

Tengah sedap aku baca nota dan maklumat masuk macam air, aku terganggu dengan bunyi gelak tawa yang agak tahi juga bunyinya. Dalam masjid gelak serupa itu, gelak yang tak cover langsung memang betul-betul tahi. Aku syak gelak itu datang dari tingkat atas. Tingkat muslimat, golongan makcik-makcik Arab.

Aku diam dahulu. Mungkin ada makcik yang sekadar buat lawak Maharaja Lawak Mega. Confirm gelak tak lama. Tapi aku silap. Aku rasa makcik tu buat lawak standard Sepah match up dengan Jozan. Sebab jenis gelak sambil air liur terpercik jatuh dari atas dan menitik ke atas nota aku.

Aku terus naik ke atas. Selepas bagi salam, aku ketuk pintu ruang solat Muslimat. Manalah tau ada makcik Arab tengah lilit tudung style Hana Tajima. Aku perkenalkan diri sebagai pelajar dan meminta makcik itu untuk senyap sebagai menghormati masjid.

Tiba-tiba beberapa orang makcik Arab tidak berpuas hati dengan teguran aku lantas memarahi aku. Jenis marah yang sampai tangan sekali naik. Pergerakan tangan mereka lebih kemas daripada Karam Singh Walia. Aku tidak mampu berdiam diri.

Aku pun bertikam lidah dengan makcik-makcik itu sehingga ada seorang makcik datang ke arahku dan melempang pipi aku. Sebagai jejaka Melayu, aku tidak diajar untuk berlaku kasar ke atas wanita, lebih-lebih golongan makcik-makcik itu.

Namun, aku berpijak di tanah Arab. Aku tinggalkan prinsip jejaka Melayu itu. Aku menolak makcik itu. Makcik itu jatuh terduduk dan menangis. Aku serba salah lantas cuba mengangkat makcik itu. Demi sahaja aku menarik lengannya, dia pantas merentap tangan aku dan aku jatuh tertiarap.

Makcik-makcik lain datang join dan menggomol aku keseorangan. Maksud aku, mengganyang aku yang hanya berbekalkan sebatang pen hitam yang aku buat garu belakang badan bila jari tak sampai. Aku dicampak dari tingkat atas ke bawah. Aku landing tepat-tepat atas nota aku tadi.

Ok, sebenarnya siak masjid sound je makcik tu dari bawah lepas terdengar makcik-makcik tu memekak kat atas. Macam buat karaoke warga emas gamaknya. Dia cakap ada orang nak study. Jangan bising.

Orang itu adalah aku. Aku rasa seperti pelajar cemerlang sebentar ketika itu.
_________________________________

Masjid itu best. Ada balang air yang banyak. Aku selalu minum sampai senak pundi.

Belajar di masjid adalah sangat efektif. Bagi aku lah.



p/s: Siak itu pernah suruh aku jaga masjid sebab dia nak keluar. Aku jaga sungguh-sungguh, sampai aku terjaga bila siak tu balik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...