Saturday 25 February 2012

Kisah di bawah pokok

Assalamualaikum.


Aku duduk sendirian. Memerhatikan langkah setiap mahasiswa yang mundar-mandir di hadapan aku. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Ada pasangan kekasih yang sedang bercanda seperti mereka sahaja yang pasangan kekasih terakhir yang wujud di dunia ketika itu. Ada yang berlari kencang seperti dikejar anjing liar gayanya. Ada yang membaca nota pelajaran sambil gigit pen. Ada yang makan sambil berjalan kemudian terbersin lalu terjatuh burger beliau. Kesian, bukan rezekinya hari itu.

Aku meliarkan pandangan ke atas. Langit bersih. Tiada awan. Cahaya matahari memang lawa menembusi celahan-celahan daun di sebalik ranting-ranting pokok yang rapuh. Daun yang kering gugur berputaran dihembus angin lembut. Begitulah juga hati. Hati yang mati akan mudah tunduk kepada nafsu walaupun sekadar Neelofa.

Burung-burung pipit bermain riang di dahan pokok. Bermain sambil membina sarang. Kicauan yang amat merdu umpama kumpulan orkestra yang dipimpin oleh Datuk Ramli MS semasa Juara Lagu 25. Melompat-lompat dari satu dahan ke dahan yang lain seolah-olah sedang berkejaran. Selepas diamati beberapa ketika, terlihat struktur sarang yang sangat unik. Aku tersenyum. Burung pipit yang comel dan sarangnya. Menarik.

Pokok sebelah dipenuhi oleh burung kelicap. Boleh cari di google. Jangan malas sangat. Boleh juga cari di fesbuk tapi maklumat tak sebanyak di google. Aktiviti yang dilakukan sama sahaja dengan burung pipit. Cuma kicauan mereka lebih kedengaran agak indie atau mainstream.

Aku terfikir, beginilah adat kehidupan makhluk di muka Bumi. Walaupun datang dari jenis yang sama, tapi tetap tak boleh bersama kerana perbezaan spesis. Yang ada cuma sikap saling hormat-menghormati. Itu mungkin yang terbaik dalam menjalani kehidupan yang penuh perbezaan. Pipit hormat kelicap. Kelicap hormat pipit. Masing-masing tahu batas dan sempadan.

Aku masih bersendirian. Duduk sambil bersandar malas. Seekor kucing tiba-tiba melompat ke kerusi dan merenung mata aku. Aku balas renungan kucing itu. Kucing itu membulatkan matanya. Aku tak mampu membulatkan mataku seperti kucing itu. Lantas aku mengembangkan hidungku kerana kucing tak mampu untuk kembangkan hidung. Dia membulatkan lagi matanya. Aku mengembangkan lagi hidungku. Kucing itu sudah tak mampu membulatkan mata. Aku kembangkan lagi sikit hidung.

Kucing itu tewas. Dia bergerak mendekati aku. Kepalanya digesel-gesel di peha aku. Aku buat-buat tak paham. Dia membuat aksi comel, bagi dirinya sahaja. Aku pandang tak comel pun. Dah biasa sangat tengok Puss in Boots. Tak rasa apa dah lah. Tiba-tiba henfonku berbunyi di peha kiri. Kucing itu terkejut akibat vibrate henfonku. Dia melompat dan terjatuh ke bawah. Aku masih buat-buat tak nampak. Akhirnya, kucing itu berlalu pergi.

Usaha tangga kejayaan wahai kucing. Kau mudah berputus asa. Kalau kau cakar aku, mungkin aku akan tampar kau. Itu kau dah sedia maklum. Cuma, jika kau panggil rakan-rakan kau dan membuat flash mob di hadapan aku, mungkin aku akan bagi kau sardin. Kau pentingkan diri kucing. Mungkin kau rasa kau dah berdikari, membuat segalanya sendiri. Tapi itu hanya pada mata kau. Bukan pada mata kucing lain yang berperang untuk mencari sesuap sardin, atau fishball.

Aku harap kau sedar kucing. Hidup ini jangan mudah berputus asa. Hidup ini juga jangan pentingkan diri sendiri.

_____________________

Hidup ini terlalu singkat untuk diisi sekadar memori silam. Mati itu memang pasti untuk diisi dengan amal ibadah.

Matilah dengan meninggalkan sesuatu yang bermanfaat untuk orang yang hidup. Hiduplah dengan persediaan untuk mati.


p/s: Hingus mencurah-curah bagaikan tiada henti. Kalau curah dalam balang penyukat, ada dalam 0.5 liter rasanya.

Monday 20 February 2012

20 Februari

Assalamualaikum.


Tengahari itu langit Shah Alam cerah lain macam. Dia punya cerah memang terik. Terik dia memang lain macam. Bahang dia memang boleh buat ketiak melekit dan tengkuk berdaki. Nak dongak ke langit memang betul-betul kerja gila. Silap-silap boleh nampak burung gagak terbang pakai topi Nike. Tak pun nampak burung merpati terbang sambil guna payung.

Sebagai penduduk Malaysia yang cintakan alam sekitar, aku memang untuk tidak memilih untuk menghidupkan pendingin hawa (aircond) bagi menjaga lapisan ozon yang semakin menipis. Alang-alang naik kereta pun aku tahan tak pasang aircond walaupun jammed tengahari buta panas ya rabbi, inikan pulak setakat panas tengahari hari Ahad.

That's why we called it, " what a sunny day.."

Kepala kipas aku tala betul-betul kat muka. Dia punya nyaman memang betul-betul deep. Itu jam kalau ada Neelofa depan mata pun aku pandang macam nenek kebayan je. Aku berbaring sambil melunjur kaki penuh dengan sifat malas. Ada semut sesat dekat kaki aku pun aku biar je. Tak sampai naik ke lutut, semut tu dah sangkut dengan bulu kaki aku yang bergumpal-gumpal dekat area keting.

Baru sahaja aku nak melelapkan mata dengan harapan dapat bermimpi berjumpa dengan Irma Hasmie, 

" Aziiiiimmmm..."

Itu laungan keramat daripada bekas pelari Selangor era 70an merangkap ayah aku.

Aku terus terpacak depan Myvi Silver bernombor pendaftaran BJR 7081 kerana ayah aku berdiri kemas di sebelah Myvi itu. Maksud kemas di sini adalah ayah aku memang berpakaian kemas berbanding aku yang hanya berbaju kepam dan berseluar koyak. Dia juga jenis kemas ketika berdiri.

Tengahari Ahad itu telah berlakunya spot-check mengejut terhadap Myvi itu. Pelbagai khazanah alam telah dijumpai ketika spot-check itu seperti duit syiling 20sen yang bernilai hampir RM5, daun pisang buat balut kuih koci, plastik burger Ramli yang mahal ya rabbi, pasir-pasir dan tanah-tanah yang menjadi saksi bahawa aku telah melangkah ke taman permainan kanak-kanak riang, plastik gula-gula hacks, stokin bowling yang ada bau minyak sapi keling, dan pelbagai lagi yang sangat lazim dijumpai di dalam Myvi BJR 7081.

Maka, tanpa berlengah, ayah aku terus mengambil kunci Unser dan meninggalkan sebaris ayat yang berbunyi,

" Myvi ni bukan besar lori nak buat lori sampah MBSA.." lebih kurang beginilah maksud kata-kata beliau.
__________________________

Selepas ayah aku pulang dari destinasi yang tak diketahui, masih lagi dalam keadaan kemas, tiba-tiba dia memanggil aku sekali lagi.

" Kau hantar kedai mana kereta ni?" matanya terkedip-kedip menahan pantulan cahaya matahari yang terhasil dari rim tayar Myvi saiz 14.

" Hantar mana apa? Tak keluar pergi mana-mana pun. Dok rumah je dari tadi," aku jawab sambil melihat ada cicak sedang menggeliat di dinding rumah.

" Kau tak hantar kereta ni pergi basuh?" ayahku bertanya sambil meninjau keadaan dalam kereta, terutama kerusi pemandu yang paling berpuaka akibat banyak menyimpan khazanah alam.

" Tak," jawabku pendek sambil menggarung hidung agar tidak kembang.
___________________________

Watak utama cerita ini mestilah aku. Cuma ada watak kedua iaitu ayah akulah. Sempena hari lahirnya yang ke 51, maka, terwujudlah wataknya sebagai galang ganti hadiah yang aku tak dapat bagi. Dan tak pernah bagi pun sebenarnya.

Selamat hari lahir, ayah. Semoga sihat selalu dan hidup diberkati di dunia dan akhirat.


p/s: Aku rasa aku dah boleh buka kedai basuh kereta. Kereta Myvi dapat diskaun 40%.

Friday 17 February 2012

hidup ini bukan selalu seperti apa yang kita impikan

Assalamualaikum.


Kau seorang yang cintakan kebersihan, tapi berjiran dengan orang yang jenis tak reti beza sampah dengan kepah.

Kau seorang yang cintakan ketenangan, tapi menyewa di sebelah taman asuhan kanak-kanak.

Kau seorang yang mementingkan ketepatan parking kereta, tapi kereta Kancil sebelah kau dah makan area parking kau.

Kau seorang yang gemarkan warna putih, tapi dianugerahkan Tuhan anak hitam gelap macam S. Kunalan.

Kau seorang yang memastikan bau kaki tidak merebak, tapi rakan pejabat kau punya bau kaki ada macam bangkai ikan Pasar Selayang.

Kau seorang yang menjaga suara, tapi kau dikelilingi oleh manusia yang peti suaranya pecah 88.

Kau ..... tapi kau....

Hidup ini kalau kau dapat je apa kau nak, kau takkan kenal erti bersyukur dalam erti kata yang benar-benar bersyukur. Kau nak A, kau dapat A. Kau nak cincin RM24 juta, kau dapat cincinRM24 juta. Kau nak suite RM100000 satu malam, kau dapat suite RM100000 satu malam. Misal sahaja.

Bagaimana pula kau berdepan atau menghadapi orang-orang sekeliling yang tak menepati citarasa kau?

Adakah kau berdiam diri sahaja?

Atau kau bersuara menuntuk hak kau sebagai makhluk di muka Bumi?

Setiap pilihan yang kau buat, pasti ada kesan yang tersendiri.

Kalau kau berdiam diri, samada kau terseksa atau orang lain bergembira.

Atau kalau kau bersuara, lega dan gembira kemudian terseksa juga akibat hentaman orang sekeliling.

Oleh itu, hiduplah sekadarnya kerana akhirnya kita akan mati juga. Samada kau mati dengan gembira atau orang lain gembira atas kematian kau.
_______________________________

Kalau hidup tak pandai nak menyenangkan orang, jangan menyusahkan hidup orang.

Bila orang tegur, terimalah dengan senyuman. At least kau tahu ada orang sedar kewujudan kau.

Yang menegur, tegurlah secara berhikmah. Mungkin kau dah rasa dah habis berhikmah sampai rasa nak tegur menggunakan rotan besi. Ketahuilah bahawa seni teguran itu berbeza mengikut sasaran yang hendak kau tegur.

Tegur ni pun macam memancing. Kau tarik ikan tu, kau lepas balik. Tarik lepas. Tarik lepas. Kalau kau terus tarik tak lepas-lepas, ada beberapa kemungkinan akan berlaku:

- Joran kau patah dan tali pancing kau putus lalu ikan pun terlepas.
- Telinga kau berdarah sebab terlibas dek tali pancing sendiri.
- Kau dapat juga ikan tu dengan sehabis kudrat yang kau perah.



p/s: aku kagum tengok pemancing yang boleh bagi semangat dekat pemancing lain yang sedang berjuang mendapatkan ikan. daripada pemancing yang mengutuk dan memaki hamun pemancing lain.

Sunday 12 February 2012

Sensitif

Assalamualaikum.


Adakah anda seorang yang sensitif? Jenis senang sentap? Hati jenis lembab dan basah dengan jiwa-jiwa tidak tetap emosinya? Mudah terasa hati dan merajuk? Memiliki bibir seperti Khilafairy haktuih untuk menzahirkan kesentapan yang anda alami? Memiliki jelingan tajam seperti mata makcik kantin yang kedekut tak bagi ambil ikan bilis banyak-banyak?

Jika anda memiliki sifat-sifat tersebut, anda boleh buat page di facebook, " Kami sentap, ada aku kisah?"

Disebabkan aku tiada bibir macam Khilafairy, aku secara automatiknya bukan golongan sentap-sentap ni.

Aku rasa intro aku mengarut nak mampus. Abaikan intro bangang di atas. Tajuk sensitif di sini bukanlah berkaitan dengan sentap hati mak nak. Aku peduli apa kau nak sentap. Aku ada kutuk kau ke? Perli-perli ke? Dah-dah. Aku bukan nak cari pasal pun dengan kau tulis entry ni.

Aku tak tahu patut gembira atau tak dengan kesensitifan yang aku miliki. Aku memiliki telinga yang agak sensitif. Maksud telinga sensitif ni bukanlah bermakna aku ni seorang yang pantang dengan orang maki atau naik suara atau apa yang sewaktu dengannya. Bukan. Macam aku cakap tadi, aku tak kisah pun. Lantak kau lah nak cakap apa pun. Mulut kau. Kau cakap banyak, bukan aku seorang je yang dengar, makcik lap dinding pejabat pun boleh dengar apa yang keluar dari mulut kau.

Boleh juga aku nak kaitkan telinga aku yang sensitif ni dengan panas baran yang dah terpendam sekian lama. Tapi tak. Telinga aku yang  sensitif tidak terarah kepada cepat panas apabila mendengar perkara yang aku tak suka. Mungkin sebab ada habuk-habuk yang berkumpul lalu membentuk tahi telinga. Maka, tahi telinga ini berubah menjadi penebat haba yang mematikan panas di telinga.

Telinga aku amat sensitif terhadap bunyi. Dia punya sensitif lain macam punya sensitif.

Aku jarang mendapat tidur yang nyenyak sebenarnya. Aku amat sensitif dengan bunyi walaupun ketika tidur. Lagi-lagi orang mengigau. Walaupun aku kuat jugak mengigau, tapi kalau aku mengigau mana aku sedarkan? Tiap kali ada orang mengigau, sure aku tercelik mata. Kadang-kadang bercakap dalam tidur dengan nada yang rendah pun aku dah terbangun.

Lagi teruk bila aku penat gila hari tu, jenis bergerak aktif umpama kanak-kanak hyperactive terlebih makan gula, lepas tu sampai rumah terus lelap. Biasanya aku tidur mati kalau dah penat sangat. Tapi orang lain, kalau dah penat gila ni, biasalah berdengkur kan? Yang tak boleh blahnya, aku mesti terjaga. Bukan jenis berdengkur satu alam dengar. Tak. Ini jenis yang biasa je. Itupun aku boleh terdengar then akan terjaga dari tidur.

Biasanya orang kalau berborak malam-malam memang suara jenis suara halkum. Dalam je dengar. Itu pun aku boleh terdengar jugak. Dan aku baru faham kenapa orang Melayu ada pepatah " cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar". Aku lah kot yang dengar-dengar apa orang cakap malam-malam.

Aku juga boleh mendengar bunyi kentut seseorang walaupun dia cuba cover dengan amat sopan sekali. Sambil melihat muka seseorang, aku dapat tahu dia baru sahaja terbatal wuduk. Aku biasanya diamkan sahaja buat-buat tak tahu. Tak elok buka aib orang. Jaga aib sesama saudara.

Bunyi henpon yang berbatu-batu jauhnya pun aku masih boleh kesan ada orang call walaupun dalam suasana bising dan hiruk-pikuk. Seolah-olah telinga aku ada filter yang tapis pelbagai lapisan bunyi. 
_________________________________

Telinga yang sensitif ni pun ada baik ada kurangnya. Yang aku senaraikan bagi aku satu kekurangan. Seriously aku tak blame siapa-siapa. Ini sekadar entry pasal telinga aku yang ada tahi lilat di tepi lubang telinga kanan. Bak kata Melayu, telinga ada tahi lalat ni orangnya degil. Aku degil ke?

Kalau boleh, isteri aku tak berdengkur. Nanti aku kena tidur ruang tamu. Kalau baik sikit, tidur sebelah isteri pakai earphone. Tapi nampak sangat malas nak mendengar isteri membebel. 


p/s: Aku sedang sakit telinga. Tak boleh dengar bunyi terlalu kuat.

Wednesday 8 February 2012

Kerana aiskrim chocolate blueberry itu

Assalamualaikum.


Musim panas 2010 @ Rabat.

Aku melangkah kosong petang itu. Tiada arah tuju yang pasti. Sejak turun dari bas no52, aku berhenti seketika. Meliarkan pandangan ke kiri dan kanan menentukan arah tuju. Kosong. Dan kekosongan itu membawa aku tanpa sedar sehingga ke hadapan deretan kedai yang amat sesak dengan sekalian umat Arab dan hiruk-pikuk laungan peniaga di kaki lima jalan yang masih tak mampu menarik aku keluar dari kekosongan itu.

Langkahku terhenti di hadapan sebuah kedai aiskrim. Mungkin akibat kepanasan dan tekak aku mula mengeluarkan suara Faizal Tahir. Aku menghampiri kaunter. Pelbagai warna dan perisa aiskrim yang sangat menarik. Ya, blueberry + chocolate ada di situ. Perisa kegemaran aku sejak darjah tiga. Menikmati ais krim sejuk ketika cuaca panas. Perasaan yang sangat nyaman lagi menyegarkan.

Kaunter itu kosong tanpa penjaga. Pekerja entah ke mana perginya. Aku menunggu penuh sabar. Sabar itu sebahagian daripada iman. Sebagai insan yang hidup penuh noda dosa, aku hanya berharap sifat sabar yang aku amalkan selama ini ada ganjaran di sisi Ilahi.

Sesungguhnya ganjaran Ilahi itu tiada siapa yang tahu bila, bagaimana, di mana dan yang paling penting, siapa yang Dia utuskan sebagai ganjaran untuk kita. Memang rahsia langit bukan sesuatu yang dapat kita ramalkan, apatah lagi untuk diteka dan dijangka.

Seorang gadis bertudung litup, muka putih kemerahan bukan disebabkan blusher, tetapi merah disebabkan cuaca panas, memakai kacamata empat segi tepat melangkah keluar dari dalam dan menghampiri kaunter.

Angin kencang tiba-tiba menampar padu muka aku. Rambut aku sudah tidak sepanjang dulu. Aku tak mampu untuk melakukan aksi menyelak rambut seperti model syampu. Aku terpaling seketika. Tatkala aku melihat kaunter aiskrim, aku lihat gadis untuk sudah melutut sambil menekup mukanya ke bawah.

Setitis air mata mengalir perlahan dari kelopak mata kirinya ketika dia mula berdiri. Aku syak angin kencang tadi telah membawa habuk atau butiran pasir lalu termasuk ke dalam mata gadis itu. Kacamata ditanggalkan dan diletak di atas kaunter. Mata kirinya digosok perlahan. Mata kanannya tepat memandang aku. Mata kanan dan mata kiri aku tepat memandang sebujur wajah yang mulus.

Sambil memejam-mejamkan mata, tangannya ligat meraba-raba kaunter untuk mengambil kembali kacamatanya. Aku mengambil kacamata itu sebelum dia tertepis dan jatuh berderai.

Dia membuka kembali mata kirinya. Ada sisa airmata yang berbaki menghiasi sepasang mata bundar itu. Mata kiri dan kanannya memandang mata kiri dan kananku. Aku memulangkan kembali kacamata empat segi itu kepadanya. Dengan senyuman manis dan ucapan terima kasih, kacamata itu bertukar tangan.

Kacamata itu dipakai kemas. Menyerlahkan lagi kebundaran sepasang mata yang coklat itu. Tangan kanannya cekap mengambil senduk sambil mengetuk-ngetuk bekas-bekas perisa aiskrim. Aku melentikkan jari telunjuk sambil mengetuk-ngetuk kaca kaunter menunjuk ke arah blueberry.

Pergerakan tangannya amat lincah dan ligat menari bersama-sama senduk aiskrim itu. Dia mengetuk-ngetuk lagi bekas-bekas perisa itu. Aku memandang wajahnya tanda tidak mengerti. Dia menyuruhku untuk menambah mana-mana perisa sebagai perasa tambahan. Aku terus menunjuk ke arah chocolate.

Gabungan dua perisa yang amat berpuaka dalam dunia aiskrim aku.

Aku mula merasakan aku dilayan lebih istimewa kerana pelanggan di sebelah aku hanya mendapat satu senduk aiskrim sahaja. Itupun perisa pisang. Oh, pisang kau beli kat pasar pun boleh.

Aku meminta gadis itu untuk meletakkan sekeping bar coklat di atas cup aiskrim aku. Permintaan aku dipenuhi. Aku meminta pula gadis itu untuk meletakkan sebiji blueberry di atas bar coklat tadi. Gadis itu menolak permintaan sambil tersenyum. Aiskrim yang sejuk itu bertukar tangan. Sejuknya aiskrim itu tidak dapat menandingi betapa sejuknya melihat segaris senyuman yang dilemparkan oleh seorang gadis yang memakai kacamata segiempat.

Aku menghulurkan wang sebanyak 10 dirham. Aku tersenyum sambil menunggu baki sebanyak 5 dirham. Gadis itu pun tersenyum sambil menyimpan 10 dirham di dalam cash machine.
________________________________

Tersenyum lebih 5 saat memang perkara yang amat sukar aku lakukan kerana aku bukan seorang yang jenis murah dengan senyuman. Walaupun senyum itu satu sedekah, aku kurang bersedekah melalui senyuman.

Aku tak baca senarai harga yang terletak hanya di sebelah kaunter.

1 spoon = 5 dirham
2 spoon = 10 dirham

Aku lupa bahawa meletakkan gadis comel di kaunter hadapan adalah salah satu teknik perniagaan cemerlang.



p/s: ini hanya satu permulaan. nantikan kisah selanjutnya.

Thursday 2 February 2012

Harga sebuah kesilapan

Assalamualaikum.


Dalam sehari, tak sah kalau tak buat silap. Samada silap tu besar atau kecil je. Dan kebesaran atau kekecilan silap itu bergantung kepada bagaimana kau pandang besar atau kecil silap tu. Silap yang kau pandang kecil, besar kat mata orang lain. Silap yang besar kat mata kau, orang lain tak anggap pun tu silap. 

Ada  orang pandang kentut kuat di dalam tandas itu sebagai silap yang besar. Aku pandang kecil je. Itu pun kadang-kadang. Selalunya bukan masalah pun bagi aku.

Aku pandang orang yang suka cakap orang lain begitu begini adalah silap yang besar. Tapi aku lihat ada je orang lain macam biasa saja cakap orang ini begitu, orang itu begini.

Begitulah.

Perkara yang bagi aku agak penting dalam konteks kesilapan ini adalah bagaimana kita nak menghadapi satu kesilapan yang kita dah buat. Silap kat sini aku tak sempitkan kepada mana-mana skop. Ini secara menyeluruh. Apa-apa yang boleh dianggap silap, maka silaplah tu.

Orang yang dah buat satu kesilapan memang berhak diberi peluang kedua. Atau ketiga. Atau keempat. Atau sampai keberapa sekalipun. Jadah aku nak tulis sampai ke 17. Faham sendiri lah kan? Pendapat aku secara peribadi, ingat, aku cakap peribadi, orang yang dah buat silap ni pun berhak sedar bukan semua orang boleh terima kesilapan yang dah dia lakukan.

Ini semua berkaitan dengan isu pemikiran. Ya, aku adalah jenis orang yang pandang setiap sesuatu ada timbal balik dia. Ada utara selatan. Ada kiri kanan. Ada imbangannya.

Contoh untuk kes ini, kesilapan.

Maknanya ada orang yang dah buat salah, dan ada orang yang menjadi mangsa atas kesilapan tadi.

Orang yang dah buat salah, kau harus sedar yang kau dah buat salah. Bila kau sedar, maksud di sini adalah betul-betul sedar kau dah buat salah, kau harus terima hakikat bahawa ada harga yang kau perlu bayar atas kesilapan kau tu.

Kalau kau lihat harga kesilapan kau tu sangat murah, kau akan rasa orang sekeliling menghukum kau atas kesilapan kau tu. Orang sekeliling tak mampu terima kau dalam hidup diorang. Kau akan rasa kau tak diberi peluang kedua. Peluang kedua yang kau harapkan adalah orang akan terus terima kau semula dengan segera. Peluang seumpama itu memang tiada atau jika ada pun, sangat tipis umpama Fakhri Sa'rani menjaringkan gol.
Itu semua berlaku bila kau tak betul-betul sedar kau dah buat silap.

Jika kau lihat harga yang kau bayar tu sangat mahal, kau akan bersyukur atas silap yang kau dah buat. Sekurang-kurangnya kau tahu itu silap. Dan orang yang menyedarkan kau itu sebenarnya bukan menghukum kau. Kalau kau buat silap kepada dia dan dia masih diam membatu, kau takkan tahu itu satu kesilapan. Lebih buruk kalau kau anggap satu kesilapan itu adalah benda betul bagi kau.

Sebagai mangsa atas kesilapan orang lain, kau memang berhak untuk menghukum orang yang berbuat silap kepada kau. Cuma, berpada-padalah. Hari ini hari dia, esok lusa hari kau pulak. Kau bukan tahu pun.

Aku tak nak cerita panjang pasal mangsa, aku nak cerita pasal orang yang dah buat silap.

Kau yang dah buat silap tu, fahamlah kedudukan kau sebagai orang yang buat silap. Walaupun bagi kau kecil, macam aku cakap tadi, ada orang yang pandang besar. Kau janganlah pula membuat sesuatu yang lebih bodoh seperti menghukum pula mangsa kesilapan kau tadi.

Contoh:

Kau seorang pencuri. Kau dah kantoi mencuri laptop kat kedai komputer kawan kau. Dan kawan kau tukar kunci kedai tanpa memberi kau kunci pendua. Dan kau masih bekerja di situ. Kemudian, kau kata dia kedekut sebab pegang kunci seorang.

Secara logikalnya, dia masih terima kau dalam hidup dia, cuma belum boleh terima kesilapan kau yang dulu. Itu sudah cukup untuk pasca permulaan selepas suatu kesilapan. Kalau kau anggap lebih dari itu, kau patut malu dengan diri sendiri.
___________________________

Aku secara peribadi sangat kagum dan hormat dengan mana-mana insan yang boleh deal kesilapan orang lain dalam hidup dia.

Aku juga secara peribadi sangat menyampah orang yang tak sedar diri tu dah salah, nak maki-hamun orang lain untuk tutup kesalahan sendiri.

Itu bangang namanya.



p/s: siapa anggap type entry blog pakai laptop orang kemudian terbersin lalu melekat nasi goreng semalam kat screen laptop adalah satu kesilapan, sila kembangkan hidung anda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...