Monday 30 May 2011

Ipar puaka

Assalamualaikum.


Cerita ini dah lama aku simpan cerita ini dalam draft. Pasal dah banyak sangat draft sampai aku naik pening, aku rasa nak release cerita ini. Mungkin jadi pada kau, boleh juga jadi pada aku. Tapi ini betul-betul terjadi pada seorang kenalan aku.

Aku namakan dia Najib. Kekasih dia Rosmah. Kakak kepada Rosmah aku namakan Rafidah. Mak kepada Rosmah aku namakan Hafilda.

Najib dan Rosmah sudah lama bercinta. 5 tahun. Aku rasa bukan tempoh yang singkat. Kalau bayi dah berubah jadi seorang budak. Dah masuk tadika. Dah pandai pakai baju sendiri. Mereka merancang untuk kahwin kerana telah lama bercinta dan boleh kata dah kenal hati budi masing-masing.

Najib memiliki pekerjaan tetap sebagai seorang guru agama. Berkat keikhlasan untuk membina masjid, dia  telah lama mengumpul duit. Hasilnya, pada usia yang agak muda, beliau telah mampu memiliki kereta sendiri dan rumah sendiri. Semua itu diusahakannya demi memberi kesenangan kepada Rosmah.

Tatkala Najib datang merisik, maka berbungalah hati Rosmah. Rosmah mengkhabarkan berita gembira itu kepada seluruh ahli keluarganya. Ibu Rosmah, Hafilda adalah orang yang paling sibuk menguruskan majlis merisik itu nanti.

Setelah selesai majlis merisik, maka sepakatlah kedua-dua belah keluarga untuk menetapkan majlis pertunangan dua bulan akan datang.

Berita majlis risik itu sampai ke telinga kakak Rosmah iaitu Rafidah. Rafidah yang telah berkahwin dan memiliki seorang anak tidak hadir pada majlis merisik adiknya kerana suaminya kerja lebih masa pada hari Ahad, bersamaan majlis merisik adiknya, Rosmah.

Pada hari Sabtu minggu hadapannya, tibalah Rafidah bersama keluarga di rumah ibunya, Hafilda. Hafilda bercerita mengenai bakal menantunya yang berperwatakan baik. Sesuai dengan gelaran ustaz yang digalas. Kesungguhan Najib terpancar dengan persediaan rumah dan kereta untuk Rosmah.

Mendengar akan cerita ibunya, maka gelisahlah Rafidah. Selama ini dia berasa selesa apabila suamiya menjadi menantu kesayangan ibunya. Walaupun suaminya bekerja berat, namun itu telah cukup untuk membuatkan ibunya menyayangi suaminya.

Dengan kehadiran bakal adik iparnya itu, dia merasa gelisah. Dia tidak senang melihat bakal suami adiknya lebih senang dan selesa pekerjaan daripada suaminya.Dia tidak rela kedudukan suaminya tergugat dengan kemewahan yang dimiliki Najib.

Rafidah meracuni minda ibunya, Hafilda. Dia mengatakan Najib tidak sepadan dengan adiknya Rosmah yang masih belajar. Gaji seorang guru tidak mampu untuk menyara adiknya yang masih belajar di kolej swasta. Dia juga mengatakan gaji guru lambat naik. Susah untuk meringankan beban pengajian adiknya nanti.

Hafilda mula terkesan. Hafilda tersenyum nipis tanda gembira. Dia terus membuat sambal belacan tahap bersembur resdung bagi meraikan kejayaannya mempengaruhi ibunya.

Rosmah sedih apabila mendengar keputusan ibunya. Ibunya tidak mengizinkan anaknya untuk berkahwin dengan Najib. Najib yang mengetahui perkara itu pergi sekali lagi untuk bertemu dengan Hafilda. Rafidah telah bersiap-sedia menyambut kedatangan Najib. Rafidah telah merendah-rendahkan demi menjaga status suaminya yang kini menyandang gelaran menantu kesayangan Hafilda.

Setelah rasa kecewa dengan sikap Hafilda dan Rafidah, Najib pergi dari rumah itu membawa diri. Rosmah yang begitu sedih telah berlari masuk ke bilik dan menghempas pintu sehingga retak dinding biliknya.

Maka, membujanglah Najib dan Rosmah sehingga kini. Dengan sikap puaka yang dimiliki Rafidah, maka menjadi anak dara tualah adiknya, Rosmah. Mungkin Rafidah hanya membenarkan adiknya berkahwin jika bakal adik iparnya kelihatan lebih susah daripada suaminya.
____________________________

Kisah ini telah diolah daripada versi asal. Nama watak juga hanyalah rekaan semata-mata.

Kadang-kadang bukan masalah mak ayah. Masalah adik-beradik pun boleh datangkan masalah. Lagi-lagi kalau ada perempuan perangai puaka macam Rafidah itu.

Tak mustahil sebab dah jadi pun kepada kenalan aku.

Kalau kena dekat aku, aku jentik buku lali perempuan macam tu sampai retak.




p/s: Kahwin sekarang makin susah, makin mahal. Ada pulak puaka begini, makin malas orang nak kahwin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...