Assalamualaikum.
Dorm A 3.1 @ 2004
Dorm A 3.1 @ 2004
Aku terbaring melepet atas katil petang itu. Katil aku betul-betul bawah kipas. Pasang kipas pada kelajuan full-blast pun angin macam nak tak nak je kuat. Habuk tebal bukan main melekat pada bilah kipas. Dia punya hitam macam hitam air longkang yang sumbat tu.
Aku nak lelap mata takut terbabas sampai asar. Padahal waktu prep dah dekat. Aku punya penat hari itu bukan main lagi. Aku tak ingat kenapa aku penat yang amat hari itu. Kalau tak sebab belajar subjek Sejarah, mungkin sebab aku kena follow warden buat spot-check.
Dulu mula-mula suka lah join spot-check ni. Jumpa macam-macam. Masa tu DVD tak berapa nak ada. Banyaklah jumpa CD cetak rompak, radio, rokok, seluar jeans, entah apa lagi aku tak ingat. Dah banyak sangat spot-check kena join, nak menyorok dalam longkang pun ada. Barang-barang 'haram' pun dah tak masyuk macam dulu.
Vrrrrrroooooooooooooommmmmmmm!!
Prreeeeeeennnggggg!!
Kriiiiinnnggg!!!
Kriiiingg!!
Krinnnnggggggggg!!!
Aku kenal sangat bunyi motor tu. Loceng ni pun bunyi lain macam. Motor tu bunyi CIkgu Wahab (bukan nama sebenar) punya. Dia warden hari ini. Antara hari yang paling lemau aku rasa dalam tahun 2004 dulu. Dia ni bekas askar aku rasa. Style hukuman askar ni aku tak berapa gemar sangat.
So, aku punya kelam-kabut tak payah cakap. Kena rotan tahan lagi. Aku yang malas kalau kena buat jam askar tengah-tengah panas. Itu ok lagi. Kalau kena study bersila tengah tapak perhimpunan memang jatuh reputasi sebagai pelajar poyo tahun itu. Poyo tetap poyo. Disiplin jangan buat main.
Dalam aku kelam-kabut tu, member sebelah katil aku masih tenang layan novel sambil cabut bulu ketiak. Dah, tak payah nak bayang macam mana. Macam lah kau tak pernah buat kan? Katil depan pula masih damai memejam mata. Aku tahu dia tak tidur. Sebab dia ni jenis loceng bunyi baru nak pejam mata. Aku punya tabiat aku malas nak tanya.
Masa aku tengah siap-siap nak pakai stokin belah kanan, mereka berdua dah duduk sebelah aku pakai kasut. Entah bila mereka bersiap aku tak tahu. Member yang pejam mata tu memang tak pernah tak lebam mata waktu petang. Ini pun aku kurang pasti macam mana boleh lebam mata waktu petang. Waktu pagi aku fahamlah jugak.
Masa aku nak sarung stokin sebelah kiri, aku nampak ada seekor lalat sedang lepak dekat hujung stokin. Dia punya lepak lebih kurang golongan surau yang balik daripada ceramah dan bersembang sambil menghirup kopi panas. Itulah gambarannya keadaan lalat tadi.
Aku hayun tangan aku supaya lalat itu pergi. Aku memang pantang tengok lalat. Tengah mengaji pun boleh jadi tak mengaji. Selagi tak mati, selagi tu aku kejar. Lu sangsi, lu mati. Begitulah lebih kurang. Member aku yang baca novel pun kagum dengan lalat yang agak sombong dan bongkak masih melepak atas stokin aku.
Aku malas nak layan lalat tu sebab malas nak bermain jam askar dengan warden terus sahaja merentap kasar stokin aku yang terletak di atas lantai. Elok sahaja aku angkat stokin itu, lalat itu jatuh bergaya ke atas lantai. Member aku yang mata lebam dah tengok lalat tu lain macam .
Dia pegang lalat itu. Lalat itu diam.
Dia jentik lalat itu. Lalat itu diam.
Dia tiup lalat itu. Lalat itu diam.
Hari itu aku berjaya bunuh lalat tanpa perlu mengejarnya. Lalat itu sudah salah mendarat ke arah lapangan yang penuh kuman dan virus. Lapangan itu adalah stokin aku.
__________________________
Petang itu aku tak pakai stokin ke prep. Itu sahaja stokin yang aku ada ketika itu.
Stokin sukan aku pun tak sehebat stokin prep aku itu.
p/s: Aku rasa hari itu hari Khamis. Sebab kira dah 4 hari pakai.
No comments:
Post a Comment