Sunday, 1 January 2012

Ketika malam itu (part 2- final)

sambungan daripada ini -- > part 1


Aku berpaling ke arah datangnya bunyi itu. Bunyi yang sangat meriah. Seolah-olah satu kampung sedang mengejar seekor lembu yang terlepas ketika hendak disembelih. Aku melihat-lihat kawasan sekeliling. Kot-kot memang ada budak-budak tengah kejar kucing yang berak merata-rata.

Sunyi. Gelap. Pekat. Tiada apa-apa melainkan sebatang pokok pandan dan sebuah tong sampah bau bangkai reput tiga hari. 

Aku terus melangkah ke dewan makan. Bau bubur kacang hijau masuk ke hidung. Bubur kacang ni kalau makan buka mata, memang tak jadi nak makan. Aku makan sambil tutup mata. Tengok bubur kacang tapi rasa ikan masak air basuh tangan. Tak basuh periuk ke apa tukang masak dewan makan?

Lepas melantak lebih kurang, aku naik ke dorm. Macam biasa, benda pertama aku buat lepas masuk dorm adalah bunuh lipas yang pasti ada depan pintu. Malam itu dapatlah dalam tiga ekor kalau aku tak salah. Kasut sukan aku tu kalau tengok betul-betul memang banyak bangkai lipas.

Borak punya borak, sembang punya sembang, budak-budak dorm aku semua dah tidur. Aku masih terkebil-kebil tak boleh lelap mata. Aku baca novel. Novel paling bosan. Sebab karya H.M Tuah. Aku memang tak boleh baca novel H.M Tuah. Baca punya baca, dekat 3 bab aku layan.

Tak jalan. Tak jadi. Aku masih tak boleh tidur. Jam dah 2 pagi.

Aku baca pula buku Sejarah Tingkatan 4. Ini buku yang agak mengantuk selepas buku Pendidikan Quran Sunah. Aku tahu aku bukan pelajar yang baik. Buku-buku agama memang mengantuk aku baca. Daripada bab Zaman Paleolitik sampai Zaman Abbasiyyah, aku tak tidur juga lagi.

Aku dah tak sedap badan. Padahal petang tadi bukan main peluh macam tarik gajah sejauh 50 meter. Pukul 5am nanti nak sahur.

Oh, lupa. Masa itu puasa, bulan Ramadan.

Aku tekan tubi dekat 100 malam tu bagi penat badan. Tak jadi juga.

Sampai ke sahur aku tak boleh tidur. Elok aku bangun nak jalan pergi dewan makan, tiba-tiba kaki aku sakit gila yang amat. Aku dah tak boleh nak jalan betul. Mata stim tak payah cerita. Hitam dah macam Kungfu Panda punya mata. Bengkak macam kena tumbuk dengan Aaron Aziz.

Petang itu aku pulang ke rumah sebab pagi itu aku kena demam panas. Muka sampai merah macam udang bakar. Happy pun ada sebab budak-budak lain kena stay sekolah sampai habis tapi aku dapat cuti awal. Kahkah.

Ayah aku terus bawa ke klinik untuk test darah sebab suspek denggi. Lepas test darah, alhamdulillah, bukan denggi. Cuma darah aku ada jangkitan kuman. Aku syak bubur kacang hijau yang macam sisa kumbahan saja rasanya.

Dapat ubat aku makan macam biasa. Ikut sukatan, ikut jadual. Aku kalau bab-bab makan ubat ni memang taat. Bukan jenis degil punya orang. Makan punya makan, tak hilang juga demam aku. Kaki pun makin bengkak. Nak solat terawih pun join pakcik-pakcik yang solat jenis duduk.

Ayah aku rasa ada tak kena sebab aku jarang tak sembuh lepas makan ubat. Entah mana pakcik ayah aku bawak jumpa. Kat Puchong. Aku ingat lagi rumah pakcik tu ada bas sekolah dan ada sebuah pondok kecil. Pondok kecil? Dah macam tajuk nasyid pun ada.

Aku tengok pakcik tu, pakcik tu tengok aku. Lepas borak-borak lebih kurang, dia pegang dahi aku. Aku agak cuak sebab tapak tangan pakcik tu besar dia dah boleh pegang kepala aku penuh. Dia pejam mata dan biasalah, baca apa entah aku tak ingat.

5 minit lebih kurang, dia lepaskan tangan dia dan senyum-senyum.

-------------------------

Pakcik: Ada orang suka kat kamu.

Ayah: Takkan sampai buat anak saya sakit?

Pakcik: Bukan orang biasa. Orang ni kata dia suka kamu dah lama.

Ayah: Bukan orang biasa? Ada benda lah ni?

Pakcik: Takpe. Benda tu terserempak dengan budak ni (aku). Dulu dia tengok-tengok je dari jauh. Budak ni dah lalu kat tempat dia. Tu yang dia tegur. Budak ni buat tak layan.

Aku: (senyap tak cakap apa-apa).

Ayah: Kenapa benda tu suka anak saya ni?

Pakcik: Budak ni baik. Rajin solat sunat. Selalu mengaji. Suka puasa sunat. Takpe. Aku dah cakap kat dia, budak ni kecik lagi. Tak boleh nak suka lagi. Lagipun tak sama.

Aku: Bila dia boleh suka saya?

-------------------------------------


Memang beza sangatlah diri aku dulu dengan sekarang. Dulu mengaji selalu mengaji tapi sekarang selalu menyanyi. Dulu rajin puasa sunat tapi sekarang lebihkan donat daripada puasa sunat.

Aku tak percaya sangat benda-benda ni. Sikit-sikit je.


p/s: Patutlah dah takde siapa suka kat aku sekarang. Perangai dah serupa sakai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...