Wednesday, 8 February 2012

Kerana aiskrim chocolate blueberry itu

Assalamualaikum.


Musim panas 2010 @ Rabat.

Aku melangkah kosong petang itu. Tiada arah tuju yang pasti. Sejak turun dari bas no52, aku berhenti seketika. Meliarkan pandangan ke kiri dan kanan menentukan arah tuju. Kosong. Dan kekosongan itu membawa aku tanpa sedar sehingga ke hadapan deretan kedai yang amat sesak dengan sekalian umat Arab dan hiruk-pikuk laungan peniaga di kaki lima jalan yang masih tak mampu menarik aku keluar dari kekosongan itu.

Langkahku terhenti di hadapan sebuah kedai aiskrim. Mungkin akibat kepanasan dan tekak aku mula mengeluarkan suara Faizal Tahir. Aku menghampiri kaunter. Pelbagai warna dan perisa aiskrim yang sangat menarik. Ya, blueberry + chocolate ada di situ. Perisa kegemaran aku sejak darjah tiga. Menikmati ais krim sejuk ketika cuaca panas. Perasaan yang sangat nyaman lagi menyegarkan.

Kaunter itu kosong tanpa penjaga. Pekerja entah ke mana perginya. Aku menunggu penuh sabar. Sabar itu sebahagian daripada iman. Sebagai insan yang hidup penuh noda dosa, aku hanya berharap sifat sabar yang aku amalkan selama ini ada ganjaran di sisi Ilahi.

Sesungguhnya ganjaran Ilahi itu tiada siapa yang tahu bila, bagaimana, di mana dan yang paling penting, siapa yang Dia utuskan sebagai ganjaran untuk kita. Memang rahsia langit bukan sesuatu yang dapat kita ramalkan, apatah lagi untuk diteka dan dijangka.

Seorang gadis bertudung litup, muka putih kemerahan bukan disebabkan blusher, tetapi merah disebabkan cuaca panas, memakai kacamata empat segi tepat melangkah keluar dari dalam dan menghampiri kaunter.

Angin kencang tiba-tiba menampar padu muka aku. Rambut aku sudah tidak sepanjang dulu. Aku tak mampu untuk melakukan aksi menyelak rambut seperti model syampu. Aku terpaling seketika. Tatkala aku melihat kaunter aiskrim, aku lihat gadis untuk sudah melutut sambil menekup mukanya ke bawah.

Setitis air mata mengalir perlahan dari kelopak mata kirinya ketika dia mula berdiri. Aku syak angin kencang tadi telah membawa habuk atau butiran pasir lalu termasuk ke dalam mata gadis itu. Kacamata ditanggalkan dan diletak di atas kaunter. Mata kirinya digosok perlahan. Mata kanannya tepat memandang aku. Mata kanan dan mata kiri aku tepat memandang sebujur wajah yang mulus.

Sambil memejam-mejamkan mata, tangannya ligat meraba-raba kaunter untuk mengambil kembali kacamatanya. Aku mengambil kacamata itu sebelum dia tertepis dan jatuh berderai.

Dia membuka kembali mata kirinya. Ada sisa airmata yang berbaki menghiasi sepasang mata bundar itu. Mata kiri dan kanannya memandang mata kiri dan kananku. Aku memulangkan kembali kacamata empat segi itu kepadanya. Dengan senyuman manis dan ucapan terima kasih, kacamata itu bertukar tangan.

Kacamata itu dipakai kemas. Menyerlahkan lagi kebundaran sepasang mata yang coklat itu. Tangan kanannya cekap mengambil senduk sambil mengetuk-ngetuk bekas-bekas perisa aiskrim. Aku melentikkan jari telunjuk sambil mengetuk-ngetuk kaca kaunter menunjuk ke arah blueberry.

Pergerakan tangannya amat lincah dan ligat menari bersama-sama senduk aiskrim itu. Dia mengetuk-ngetuk lagi bekas-bekas perisa itu. Aku memandang wajahnya tanda tidak mengerti. Dia menyuruhku untuk menambah mana-mana perisa sebagai perasa tambahan. Aku terus menunjuk ke arah chocolate.

Gabungan dua perisa yang amat berpuaka dalam dunia aiskrim aku.

Aku mula merasakan aku dilayan lebih istimewa kerana pelanggan di sebelah aku hanya mendapat satu senduk aiskrim sahaja. Itupun perisa pisang. Oh, pisang kau beli kat pasar pun boleh.

Aku meminta gadis itu untuk meletakkan sekeping bar coklat di atas cup aiskrim aku. Permintaan aku dipenuhi. Aku meminta pula gadis itu untuk meletakkan sebiji blueberry di atas bar coklat tadi. Gadis itu menolak permintaan sambil tersenyum. Aiskrim yang sejuk itu bertukar tangan. Sejuknya aiskrim itu tidak dapat menandingi betapa sejuknya melihat segaris senyuman yang dilemparkan oleh seorang gadis yang memakai kacamata segiempat.

Aku menghulurkan wang sebanyak 10 dirham. Aku tersenyum sambil menunggu baki sebanyak 5 dirham. Gadis itu pun tersenyum sambil menyimpan 10 dirham di dalam cash machine.
________________________________

Tersenyum lebih 5 saat memang perkara yang amat sukar aku lakukan kerana aku bukan seorang yang jenis murah dengan senyuman. Walaupun senyum itu satu sedekah, aku kurang bersedekah melalui senyuman.

Aku tak baca senarai harga yang terletak hanya di sebelah kaunter.

1 spoon = 5 dirham
2 spoon = 10 dirham

Aku lupa bahawa meletakkan gadis comel di kaunter hadapan adalah salah satu teknik perniagaan cemerlang.



p/s: ini hanya satu permulaan. nantikan kisah selanjutnya.

1 comment:

saffiya_aleesya @ echa said...

adoiii ni dah kes melibatkan perasaan ni hahahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...