Assalamualaikum.
Tengahari itu langit Shah Alam cerah lain macam. Dia punya cerah memang terik. Terik dia memang lain macam. Bahang dia memang boleh buat ketiak melekit dan tengkuk berdaki. Nak dongak ke langit memang betul-betul kerja gila. Silap-silap boleh nampak burung gagak terbang pakai topi Nike. Tak pun nampak burung merpati terbang sambil guna payung.
Sebagai penduduk Malaysia yang cintakan alam sekitar, aku memang untuk tidak memilih untuk menghidupkan pendingin hawa (aircond) bagi menjaga lapisan ozon yang semakin menipis. Alang-alang naik kereta pun aku tahan tak pasang aircond walaupun jammed tengahari buta panas ya rabbi, inikan pulak setakat panas tengahari hari Ahad.
That's why we called it, " what a sunny day.."
Kepala kipas aku tala betul-betul kat muka. Dia punya nyaman memang betul-betul deep. Itu jam kalau ada Neelofa depan mata pun aku pandang macam nenek kebayan je. Aku berbaring sambil melunjur kaki penuh dengan sifat malas. Ada semut sesat dekat kaki aku pun aku biar je. Tak sampai naik ke lutut, semut tu dah sangkut dengan bulu kaki aku yang bergumpal-gumpal dekat area keting.
Baru sahaja aku nak melelapkan mata dengan harapan dapat bermimpi berjumpa dengan Irma Hasmie,
" Aziiiiimmmm..."
Itu laungan keramat daripada bekas pelari Selangor era 70an merangkap ayah aku.
Aku terus terpacak depan Myvi Silver bernombor pendaftaran BJR 7081 kerana ayah aku berdiri kemas di sebelah Myvi itu. Maksud kemas di sini adalah ayah aku memang berpakaian kemas berbanding aku yang hanya berbaju kepam dan berseluar koyak. Dia juga jenis kemas ketika berdiri.
Tengahari Ahad itu telah berlakunya spot-check mengejut terhadap Myvi itu. Pelbagai khazanah alam telah dijumpai ketika spot-check itu seperti duit syiling 20sen yang bernilai hampir RM5, daun pisang buat balut kuih koci, plastik burger Ramli yang mahal ya rabbi, pasir-pasir dan tanah-tanah yang menjadi saksi bahawa aku telah melangkah ke taman permainan kanak-kanak riang, plastik gula-gula hacks, stokin bowling yang ada bau minyak sapi keling, dan pelbagai lagi yang sangat lazim dijumpai di dalam Myvi BJR 7081.
Maka, tanpa berlengah, ayah aku terus mengambil kunci Unser dan meninggalkan sebaris ayat yang berbunyi,
" Myvi ni bukan besar lori nak buat lori sampah MBSA.." lebih kurang beginilah maksud kata-kata beliau.
__________________________
Selepas ayah aku pulang dari destinasi yang tak diketahui, masih lagi dalam keadaan kemas, tiba-tiba dia memanggil aku sekali lagi.
" Kau hantar kedai mana kereta ni?" matanya terkedip-kedip menahan pantulan cahaya matahari yang terhasil dari rim tayar Myvi saiz 14.
" Hantar mana apa? Tak keluar pergi mana-mana pun. Dok rumah je dari tadi," aku jawab sambil melihat ada cicak sedang menggeliat di dinding rumah.
" Kau tak hantar kereta ni pergi basuh?" ayahku bertanya sambil meninjau keadaan dalam kereta, terutama kerusi pemandu yang paling berpuaka akibat banyak menyimpan khazanah alam.
" Tak," jawabku pendek sambil menggarung hidung agar tidak kembang.
___________________________
Watak utama cerita ini mestilah aku. Cuma ada watak kedua iaitu ayah akulah. Sempena hari lahirnya yang ke 51, maka, terwujudlah wataknya sebagai galang ganti hadiah yang aku tak dapat bagi. Dan tak pernah bagi pun sebenarnya.
Selamat hari lahir, ayah. Semoga sihat selalu dan hidup diberkati di dunia dan akhirat.
p/s: Aku rasa aku dah boleh buka kedai basuh kereta. Kereta Myvi dapat diskaun 40%.
No comments:
Post a Comment