Saturday, 27 August 2011

0-0 (bahagian 11)

bahagian 11




“ Sop, awak jadi imam ye petang ni? Imam Bukhari tak dapat datang sebab dia balik kampung tadi. Lepas solat nanti ada pasangan pengantin nak akad nikah. Awak jadi tok kadi. Boleh?” terang Pak Rahim selaku siak masjid.

 “ Tapi tok, saya ni kahwin pun tak lagi. Camne nak bagi khutbah nikah? Seganlah saya tok,” luah Yusuf . Bagaimana dia ingin menasihati orang yang berkahwin sedangkan dirinya sendiri belum bernikah? Itu yang merisaukan dirinya.

 “Apa guna awak belajar tinggi-tinggi? Ada ke syarat tok kadi tu, kene kahwin dulu?  Dah, jangan peningkan saya. Borangnya dah saya sediakan kamu tinggal jadi tok kadi je,” Yusuf pun segera mengambil wuduk dan bersiap sedia untuk solat. 

Azan Asar pun berkumandang. Rombongan pengantin lelaki tiba tepat selepas azan habis. Rombongan pengantin perempuan pula mengiringi rombongan pengantin lelaki masuk ke ruang solat. Yusuf menjadi imam untuk solat asar pada petang itu.

 Tiba-tiba perasaan hiba menyelubungi hati Yusuf ketika dia khusyuk mengimami solat asar. Dia tidak dapat menahan air mata daripada mengalir. Semua makmum menjadi sayu tatkala mereka mendengar suara imam menangis ketika iktidal. Yusuf beristighfar dalam hati apabila dia merasa tidak khusyuk. Seakan ada suatu yang membebani hati dan perasaannya ketika ini. Yusuf menguatkan hati dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap solatnya.

 “ Amin ya rabbal ‘alamin…” Yusuf selesai membaca doa. Dia pun bersalaman dengan para makmumnya.



bersambung..

Thursday, 25 August 2011

Terawih malam ke20

Assalamualaikum.


Aku letak kereta agak jauh dari masjid. Malam minggu gamaknya. Berduyun-duyun kereta. Dah macam nak pergi mengundi naik kereta pun ada. Myvi kelabu aku masih merajuk. Sejak aku tercalarkan pintu kanan belakang, sampai sekarang tak habis merajuk lagi.

Aku menuju ke bilik wuduk. Ada seorang budak bermain air. Masuk kategori membazir.

Pang!!

Bersembur air kumuran dari hidung dan mata budak itu. Seorang lelaki yang dipercayai bapa budak itu menepuk kepala budak itu. Salah satu cara mengajar anak supaya tidak bermain air. Hebat.

Aku terus menuju ke ruang solat Masjid negeri.

Selepas terawih rakaat ke 12..

Aku maju ke hadapan setelah ada kekosongan yang ditinggalkan seorang lelaki. Lelaki itu agak gopoh ingin menjawab panggilan telefon lalu henfonnya terjatuh. Ada gambar seorang wanita. Cantik. Tapi bengis. Mungkin isteri lelaki itu. Patutlah pun menggelupur nak jawab panggilan.

Imam dah angkat takbir.

Setelah maju ke hadapan, aku lantas mengangkat takbir. Tiba-tiba pakcik sebelah aku sedawa. Serta-merta aku kembali ke saf belakang semula.
___________________________

Pakcik sebelah kiri aku rasa baru lepas makan budu atau cencalok. Tak dapat kenal pasti.

Aku tak pasti lelaki yang jawab panggilan tadi takut bini atau terbau cencalok.


p/s: Sila pastikan kesegaran nafas sebelum anda solat secara berjemaah.

Tuesday, 23 August 2011

Terawih malam ke 18

Assalamualaikum.

Malam itu aku lambat ke masjid. Aku pecut Myvi aku dengan penuh yakin. Seni selitan dan celahan aku agak berkarat akibat sudah 8 bulan tidak memandu. Myvi juga seakan-akan merajuk dan tidak ngam dengan aku. Ada rasa kurang selesa antara aku dengan Myvi kali ini. Unidentified feeling between us.

Aku melangkah tenang ke dewan solat utama Masjid Negeri, Shah Alam. Walaupun aku tahu sudah terlambat, aku tidak tergerak hati ingin mempercepat langkah. Ada beberapa orang yang telah lambat bukan sekadar berlari-lari anak, malah ada yang berlari pecut 100m. Aku pandang sambil betulkan kopiah.

Solat Isyak malam itu aku tertinggal satu rakaat.

Malam itu seperti biasa, aku akan solat terawih 20 rakaat dan witir 3 rakaat.

Tatkala doa qunut dibacakan, imam malam itu menghayati bacaan doanya sehingga menangis. Suara esakannya jelas sehingga membawa satu penghayataan yang padu dalam jiwa para makmum.

Aku juga tidak terlepas ingin mengambil feel. Feel untuk menangis akibat rasa dosa yang menggunung tinggi. Aku menarik nafas tenang dan menghayati makna doa yang dibacakan.

Sekonyong-konyong datang 2-3 orang budak lelaki berumur lingkungan 5-6 tahun di sebelah kiri aku. Aku solat di sebelah hujung kiri saff di belakang sekali. Mereka berdiri di sebelah aku, bersandar pada dinding.

Maka, terjadilah perbualan ini.

Budak 1: Pakcik tu tak nangis pun. Abang ni macam nak nangis, hidung dah berair.

Budak 2: Ha ah lah. Imam dah menangis tu. Kenapa ye? Mak dia marah balik lambat ke?

Budak 3: Yang ni nangis, yang tu pun nangis. Yang sana tu tak nangis pun. Dari tadi menguap je.
______________________________

Semoga Allah terima solat witir aku pada malam ramadhan ke 18.

Feel yang aku cuba tarik hilang entah ke mana. Solat sambil tahan gelak juga boleh buat air mata keluar.
Dan akulah abang yang macam naj menangis, hidung dah berair itu.


p/s: Dah khatam alquran. Alhamdulillah.


Sunday, 21 August 2011

0-0 (bahagian 10)

bahagian 10



Setelah 6 bulan mengikat tali pertunangan, ibubapa Hasnae memutuskan untuk menikahkan anak mereka. Akad nikah itu akan berlangsung selepas solat asar. Pakngah mencadangkan mereka bernikah di masjid berhampiran rumahnya kerana baru dirasmikan. Mereka pasti menjadi pasangan pengantin pertama dinikahkan di situ. Mereka semua bersetuju. 

Hasnae hanya menyerahkan sahaja kepada ibubapanya untuk menguruskan majlis pernikahannya. Bukan dia memboikot, tapi tugasnya sebagai arkitek yang baru bekerja membataskan waktunya. Hendak menempah baju perkahwinan pun terpaksa mencari masa yang sesuai.

 “ Saya harap awak faham keadaan saya. Kita sama-sama arkitek, jadi saya harap sangat awak faham situasi saya. Bukan saya tak sudi nak keluar dengan awak. Cuma saya sibuk dan agak penat,” pernah Hasnae meluahkan isi hatinya kepada bakal suaminya pada kali pertama mereka sah menjadi ditunangkan.

 “Takpe. Saya paham. Yang saya harapkan, awak dan saya mampu menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya selepas kita sah mejadi suami isteri nanti. Hanya itu permintaan saya,” Hisham tersenyum melihat Hasnae. 

Telah lama dia ingin meluahkan perasaannya sejak di Jepun lagi namun dia menghormati pendirian Hasnae yang tidak ingin menjalinkan apa-apa hubungan dengan lelaki selain sebagai seorang suami. Kini, impiannya hampir menjadi kenyataan. Dia bersyukur kepada ALLAH. 



bersambung..

Wednesday, 17 August 2011

Malam ramadhan itu mungkin rezeki aku (final)

part 2 (final)

Dengan limpahan cahaya dari tiang lampu jalan, aku dapat menangkap satu pergerakan yang tenang. Susuk tubuh itu dapat aku lihat dengan jelas. Susuk tubuh itu adalah kepunyaan gadis solehah yang aku tunggu setiap kali azan Asar berkumandang.

Bagaimana aku tahu itu dia?

Kerana dia memakai pakaian yang sama ketika kali pertama aku bertemu dengannya beberapa hari yang lepas. Aku yakin pakaiannya itu baru sahaja dipakai setelah dibasuh, bukannya dipakai bermula dari  ramadhan kedua  ketika kali pertama aku bertemu dengannya.

Aku tidak sedar mengapa mataku tidak lepas daripada mengiringi langkahnya ke masjid. Dia dapat mengesan ekor mataku lantas terus menundukkan wajahnya menghadap jalan raya.

Aku lantas tersedar dan terus memalingkan wajahku ke arah lain. Aku beristighfar panjang. Dia gadis solehah yang menjaga pandangannya. Tapi aku?

Sepanjang langkahku ke stesen kereta api, aku tak sudah-sudah beristighfar. Aku juga bertahmid memujiNya kerana memberi aku peluang untuk bertemu dengan gadis itu sebelum aku pulang Malaysia.

Kini aku berada di Malaysia selepas malam terakhir di Kenitra ditinggalkan dengan pertemuan tak terduga dengan gadis itu.
_______________________________

Nasib baik aku jenis ikut cakap mak ayah. Perempuan Melayu itu lebih diutamakan.

Lebih penting, boleh masak pelbagai jenis masakan Melayu.



p/s: Kalau ada gadis Arab boleh masak lemak cili api, aku rasa boleh negotiate lagi.

Tuesday, 16 August 2011

Malam ramadhan itu mungkin rezeki aku (part 1)

Assalamualaikum.


Malam itu agak menggelupur. Buka puasa kelam-kabut. Minum air seteguk, terus solat Maghrib, tak sampai 5minit dah salam. Betul-betul gelupur. Gelupur dia macam sedang berlawan ragbi. Peluh mengalir deras tanpa sekatan dan terus menuju ke hujung lidah. Kuih-muih yang manis terasa masin. 

Aku menggelupur kerana ingin mengejar kereta api. Aku ingin ke Rabat. 

Sunnah Nabi agar makan dalam keadaan tenang dan kunyah sebanyak 40x tak terdaya untuk aku ikuti dalam keadaan gelupur itu. Usahkan 20x, tak sampai 10x kunyah pun makanan sudah melalui kerongkong dan menuju ke perut.

Orang minum air ikut mulut, aku minum air ikut hidung. Holiaw! Air kiwi berwarna hijau masuk melalui lubang hidung dan turun ke tekak. Aku tak tahu air kiwi hijau itu berubah warna atau tidak ketika masuk ke tekak. Namun ada rasa seperti biji-biji melalui tekak aku.

Aku hanya bersangka baik itu adalah biji kiwi yang tidak hancur ketika proses membuat jus kiwi.

Habis sahaja aktiviti gelupur itu, aku terus bersiap menuju ke Rabat.

Elok sahaja aku melangkah keluar dari rumah, sekonyong-konyong angin bertiup dari sebelah kanan. Angin itu membuatkan mataku terpejam dan aku segera memalingkan wajahku ke kiri agar mataku tidak bertambah pedih. Air mata kepedihan mengalir perlahan dari mata kiriku.

Aku gosok mata kiriku dengan belakang tapak tangan kanan. Tiba-tiba mataku bertambah pedih. Aku tak perasan ada cili boh yang melekat di situ telah termasuk ke dalam mataku. Keadaan menjadi lebih gelupur.

Aku menepuk-nepuk lembut mata kiriku sehingga pedih itu hilang.

Tatkala aku membuka mataku, aku terlihat samar-samar sebatang susuk tubuh. Mataku yang berair itu tidak dapat menterjemah imej dengan jelas. Aku menyapu mataku dengan lengan baju melayuku.


bersambung..

Saturday, 13 August 2011

0-0 (bahagian 9)

bahagian 9



Setelah 7 tahun berlalu , Hasnae telah dipinang oleh Hisham, rakan sekuliahnya sewaktu di Jepun dulu.

 “ Hasnae betul nak terima pinangan Hisham tu? Betul kamu dah tak fikirkan Yusuf?” ibunya sangat memahami dirinya.

 Dia mengangguk lemah. Di lubuk hatinya, dia masih berharap Yusuflah yang akan mula-mula bertemu dengan ibubapanya. Namun prinsip yang dipegangnya sewaktu aktif usrah di Jepun dulu ‘ mana-mana lelaki yang bertemu dulu dengan ibubapanya, maka dia redha dan rela menjadi permaisuri untuk lelaki yang bakal menjadi suaminya itu’.

 “ Nae, kau betul nak kahwin dah ni? Betul kau dah lupakan Yusuf? Aku bukan apa. Aku kesian kat kau. Zahir kau memang dengan Hisham tapi batin kau? Tak adil untuk Hisham nanti. Berdosa kau bayangkan lelaki lain sewaktu bersama dengan suami kau tu nanti,” nasihat Salwa apabila mereka bertemu di taman pada petang itu.

 “ Aku yakin aku dah lupakan Yusuf. Aku dah anggap dia sama macam aku mula-mula kenal dia dulu. Sebagai kawan dan musuh yang paling aku benci. Tapi takdelah benci dia sekarang ni. Masa tak matang dulu je. Sekarang, aku akan cuba menyintai Hisham. Aku akan pegang prinsip aku. Kalau Hisham suami aku, aku akan curahkan cinta dan sayang aku kat dia sorang je. Aku yakin,” Hasnae melepaskan keluhan berat. Dia yakin. Setelah 7 tahun tidak berhubung langsung dengan Yusuf, perasaan itu dapat dikawalnya dengan baik walaupun kadang-kala menyeksa naluri wanitanya.

Yusuf kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta. Dia banyak mencurahkan baktinya kepada masyarakat melalui ilmu yang tersemat di dadanya. Dia juga dilantik sebagai imam ke3 di sebuah masjid yang baru dibuka di rumah barunya di Segamat. Pada setiap malam Sabtu, dia akan mengadakan kuliah mengenai tafsir alquran dan hadis. Semua jemaah di sana mulai menyukai dan menyayangi imam muda itu kerana perwatakannya yang bersahaja ketika menyampaikan kuliah.

 “ Walau sedalam mana kita cintakan seseorang manusia, baik ibu, ayah, kaum kerabat kita atau sesiapa sahaja, hendaklah kita berusaha untuk meraih cinta Ilahi kerana itulah cinta teragung,” demikianlah isi kuliah Yusuf pada malam itu. Lantas dia teringatkan Hasnae. Namun cepat-cepat dia beristighfar agar tidak melalaikannya daripada mengingati ALLAH.





bersambung..

Friday, 12 August 2011

asar ramadhan kedua (final)

Bahagian akhir


Aku rasa amat terkejut dan takut. Perbuatan aku mungkin telah dihidu oleh bapa atau abang atau pakcik atau atuk gadis itu. Lebih malang lagi kalau yang menepuk bahu aku adalah suami gadis itu.

Aku menoleh perlahan-lahan. Air liur nak telan pun dah tak guna. Bukan hilang haus pun.

" Enta tunggu siapa kat sini?" sahabat aku bertanya.

" Takde siapa pun. Baru sampai dari Rabat. Ambil angin kejap. Penat." Aku jawab ringkas.

" Oh. Ana balik dulu la ye? Nak masak untuk berbuka." Sebagai suami mithali, dia ada tokoh.

" Jomlah. Saya pun nak balik sekali." Aku putus asa.

Aku berjalan bersama-sama sahabat aku yang lebih tua dan telah memiliki dua orang anak perempuan pulang ke rumah. Lebih baik aku pergi daripada terus menanti gadis itu yang aku tak pasti telah pulang atau masih beribadat di dalam masjid. Aku tak sanggup untuk berterus terang yang aku sedang menanti seorang gadis.

Pedih. 

Tatkala aku melangkah pulang, aku langsung tidak menoleh ke belakang. Biarlah gadis itu beribadah lebih di dalam masjid. Biarlah aku pulang tanpa melihat wajah solehah seorang muslimat yang bertaqwa.

Sampai ke hari ini, aku masih menunggu kehadirannya melintasi rumah aku pada waktu Asar yang menjadi pemangkin untuk aku datang awal ke masjid. Masih ada 3 minggu lagi sebelum raya. Masihkah ada peluang untuk aku bersemuka dengannya lagi selepas ini?

Haktuih.



p/s: Aku tak jumpa lagi dia waktu Asar setakat ini.

Tuesday, 9 August 2011

asar ramadhan kedua (bahagian 2)

bahagian 2


Aku hanya mampu memandang gadis itu dari sisi tepi sahaja kerana dia sudah melangkah masuk ke dewan solat muslimat. Aku pula terus berdiri dan mengangkat takbir mengikut imam. Aku masih mampu khusyuk tanpa memikirkan gadis itu untuk sementra waktu.

Selesai sahaja doa, aku bersandar di dinding masjid.

Aku tersentak melihat ramai muslimat berduyun-duyun berjalan kaki pulang ke rumah. Gadis itu tidak kelihatan. Aku nekad untuk mencari gadis itu. Namun, tempat aku duduk amatlah tak strategik kerana dihalangi banyak tiang masjid.

Aku menunggu gadis itu di hadapan masjid. Tempat itu strategik kerana aku dapat melihat semua orang yang keluar dari masjid sama ada dari pintu kiri ataupun kanan. Aku duduk keletihan kerana agak lama menunggu. Aku mengarahkan mataku ke arah pintu kiri kerana dari situ gadis itu masuk ke dewan solat muslimat.

Tiba-tiba bahu aku ditepuk seseorang dari sebelah kanan.



bersambung..

asar ramadhan kedua (bahagian satu)

Assalamualaikum.


Azan Asar berkumandang.

Aku dengar azan itu sayup-sayup padahal jarak rumah aku dengan masjid hanyalah 50m. Hari kedua puasa di sini memang lesu. Nak tidur lepas tarawih takut terlepas sahur. Nak tidur lama-lama lepas Subuh tak kena gaya pulak bulan Ramadhan ni.

Jadi, lepas Zuhur aku tumbang terhumban ke atas katil. Baca al-quran bersandar di dinding dalam keadaan mengantuk dan lapar di atas katil adalah sangat silap. Tak sedar bila tiba-tiba kau terbuat alquran itu seperti penutup mata untuk tidur di dalam kapal terbang.

Alaa, yang orang buat letak di mata supaya nampak gelap je tu. Tahu tak?

Sambung cerita.

Lepas kucup alquran yang tak sengaja aku buat tutup mata itu, aku lemparkan pandangan ke luar tingkap. Aku meluruskan kaki dan meregangkan otot dan urat. Aku masih mamai.

Tiba-tiba seorang gadis bertudung krim dan berjubah pastel melintas di hadapan aku. Aku yakin itu bukan jelmaan syaitan. Mamai aku hilang serta-merta. Aku terus capai jubah dan bergegas ke masjid.

Gadis itu berada beberapa langkah di hadapan aku. Aku terus mengejar gadis itu. Bukan dalam keadaan berlari. Gila apa? Nanti dia perasan. Aku berjalan dengan cepat sampai aku tak sedar aku pakai selipar terbalik.


bersambung...






Sunday, 7 August 2011

Memang best

Assalamualaikum.


Orang depan kau sedang bercakap menggunakan bahasa yang kau langsung tak faham walau sebutir perkataan pun sambil pandang tepat ke arah anak mata kau. Dia juga menudingkan jari telunjuk ke arah dahi atau muka kau.

Setelah itu dia pandang juga orang sebelah kiri kau. Dia juga tuding jari ke arah orang yang duduk selang dua baris dari kanan kau.

Apa aku rasa?

Memang best.
_________________________________

Orang itu adalah seorang wanita warganegara apa entah yang duduk di kerusi hadapan di dalam kapal terbang.

Apa entah dia marah aku. Mungkin dia nampak aku usha dada dia. Hadap sangatlah aku. Aku baru bangun tidur kau pulak terus diri depan aku.

Yang aku tak paham apa motif dia main tuding-tuding jari kat mat saleh sebelah kanan aku dan usha maut ke arah pakcik India di sebelah kiri aku.



p/s: Istanbul best. Baju lawa, harga murah. Cool~~

0-0 (bahagian 8)

bahagian 8



 Yusuf kembali ke UM pada keesokan harinya untuk meneruskan pengajian. Hari-hari yang dilalui Yusuf selepas itu agak suram namun dia cuba melupakan kesedihan hatinya dengan menyibukkan diri dengan menelaah pelajaran.

Walaupun telah lama berada di Jepun, Hasnae tidak mampu untuk meredakan rindunya terhadap keluarganya dan Yusuf. Rakan biliknya, Safae mengajak Hasnae untuk menyertai usrah bagi mengisi masa lapangnya. Ternyata ajakan Safae banyak mengubah Hasnae. Hasnae kini lebih kuat dan tabah. Dia lebih tenang sekarang. Pelajarannya pun semakin stabil dan dia mampu untuk memahami pelajaran dengan lebih mudah.

          Di UM, Yusuf banyak bertanya kepada ustaz dan pensyarah. Semakin banyak dia bertanya, semakin dia sedar bahawa caranya berkasih sayang dengan Hasnae selama ini adalah silap dan bercanggah dengan Islam. Berkali-kali dia bermunajat pada ALLAH agar dikuatkan hatinya untuk menghadapi hari-hari mendatang. Namun dia masih berdoa agar ALLAH tetapkan jodohnya dengan Hasnae. Dia terlalu sayangkan Hasnae walaupun dia cuba untuk melupakan segala yang pernah terjadi antara dia dan Hasnae.

 Di Jepun pula, melalui usrah yamg dijalankan setiap minggu, Hasnae tersedar dari lamunan. Dia harus berpisah dengan Yusuf yang selama ini banyak membantunya. Dia sentiasa berdoa pada ALLAH selepas solat agar dia menjadi isteri kepada Yusuf. Dia takut akan berpisah dengan Yusuf kerana dia terlalu cintakan Yusuf. Safae banyak membantu Hasnae melupakan Yusuf . Walaupun sukar, tapi dia cuba juga. Hasil tunjuk ajar Safae, Hasnae mampu mengawal perasaannya pada Yusuf.

 Mereka berdua sama-sama nekad untuk berpisah  walaupun, masing-masing tak tahu yang mereka berdua sedar pada masa yang sama. Malam itu Yusuf bertahajjud pada ALLAH agar dia kuat untuk menyatakan kebenaran. Hasnae berendam air mata pada malam itu. Dia menangis sepuas-puasnya. Pertama kerana sedih mengenangkan dosanya pada ALLAH kerana telah terlalai dan keduanya, melepaskan lelaki pertama dalam hidupnya.

 Yusuf dan Hasnae berchatting pada hujung minggu seperti biasa. Mereka bertanyakan khabar . Tanpa membuang masa, mereka meluahkan isi hati masing-masing. Dengan serentak mereka menekan keyboard ‘ saya sayangkan hubungan ni tapi saya lebih sayangkan ALLAH. Saya doa moga kita ada jodoh juga nanti. Saya akan terus berdoa moga awaklah pasangan hidup saya. Maafkan saya..’

Yusuf dan Hasnae masing-masing sign out serentak. Selepas itu, mereka tidak pernah berhubung namun di hati mereka masih bersisa cinta dan sayang walaupun telah cuba mereka singkirkan.


bersambung..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...