Assalamualaikum.
Hari ini hujan. Kejap hujan, kejap berhenti. Angin pulak memang kencing kencang lain macam. Langit gelap. Awan mendung berarak kelabu.
Aku sampai masjid agak awal. Aku ingat dah cukup awal untuk dapat saf depan. Dapat jugak saf belakang. Elok lah sikit daripada duduk dekat luar. Mungkin sebab hari nak hujan. Semua keluar awal.
Khatib hari ini kurang mantap daripada khatib minggu lepas. Khatib minggu lepas bukan sahaja sekejap, malah isi mantap. Sikit takpe, janji berkualiti.
Selang beberapa minit khatib hari ini mula berkhutbah, aku mula merasakan aku ditarik ke alam misteri.
Aku semakin risau. Aku yakin aku telah duduk di dalam masjid tetapi aku merasakan jasad aku mula beralih ke alam misteri. Peluh menitik dari dahiku. Ketakutan menyelubungi diri. Aku tidak cukup kuat untuk berdepan dengan situasi ini.
Latar belakang masjid perlahan-lahan berubah. Khatib tadi tidak lagi kelihatan. Mimbar yang tinggi juga hilang. Jemaah lain mula berubah bentuk. Seorang demi seorang. Aku semakin cuak.
Alam misteri perlahan-lahan bertukar menjadi suasana masjid semula. Tetapi, aku lihat semakin banyak hantu mucul dalam masjid itu. Hantu itu hanya dari satu spesis. Hantu tanpa kepala. Semua hantu itu senyap sahaja.
Hantu tanpa kepala ada di sebelah aku. Ada di depan. Ada di belakang. Ada juga hantu tanpa kepala yang bersandar di tiang. Hantu-hantu itu tersengguk-sengguk ke depan dan belakang menahan mengantuk.
Rupa-rupanya itu bukan hantu tanpa kepala. Itu adalah manusia yang tertidur sambil kepala dilentokkan ke bawah. Aku yang duduk di belakang memang nampak mereka seperti hantu tanpa kepala yang sedang duduk di dalam masjid.
_____________________________
Khatib sekarang kena pandai baca khutbah. Jangan syok sendiri. Jangan lama sangat sampai jemaah resah. Jangan baca teks macam tulisan teks tu pakai font -12.
Susah nak jumpa khatib yang mampu buat jemaah tak tidur masa khutbah. Susah. Lagi susah nak jumpa jemaah yang tak tidur masa tabung masjid lalu depan mereka. Buat-buat terjaga dan buat-buat tertolak tabung ke orang sebelah. Hebat.
p/s: Tidur masa khutbah boleh tahan lagi. Berdengkur campur perut lapar berbunyi memang betul-betul tabik.
No comments:
Post a Comment